Thursday, May 3, 2012

Bolasepak Malaysia

Assalammualaikum,

Saya terpanggil untuk berbicara berkaitan isu-isu bolasepak negara pada masa ini. Saya hanyalah pencinta sukan bolasepak negara, mohon maaf jika nukilan saya ini mengetuk kemarahan dan sensitiviti sesiapa di luar sana. Antara isu-isu bolasepak negara adalah hukuman yang dijatuhkan kepada pengurus pasukan bolasepak Kelantan, kejayaan pasukan Harimau Malaya membenam Sri lanka, kejayaan pasukan Kelab Sime Darby melangkah ke perlawanan akhir Piala FA serta banyak lagi yang boleh dikongsikan di sini. Saya tertarik untuk memperkatakan tentang inisiatif dan usaha satu syarikat koprat yang menubuhkan akademi bolasepak untuk membantu badan induk bolasepak negara menyediakan pemain-pemain yang berkualiti di peringkat negara mahu di luar negara. Melihat kepada bilangan akademi yang telah ditubuhkan diseluruh negara mencerminkan betapa sukan ini masih lagi mendapat tempat di hati masyarakat serta sokongan ibu bapa yang masih mahu memberikan peluang dan menyokong pembabitan anak-anak mereka dalam sukan bolasepak ini.

Akademi bolasepak Frenz United yang baru-baru ini telah dirasmikan boleh menjadi contoh terbaik pembabitan syarikat koprat yang mahu merealisasikan impian 23 juta rakyat Malaysia yang ingin melihat pasukan bolasepak negara suatu hari nanti berjaya bersaing dengan kuasa-kuasa bolasepak dunia. Perbelanjaan yang tinggi diperuntukkan kepada akademi ini merangkumi penyediaan kemudahan fasiliti yang lengkap, penginapan yang selesa, makanan dan nutrisi yang terkawal, pendidikan yang terbaik serta kepakaran jurulatih dan pegawai-pegawai teknikal yang berpengalaman dan berkelayakan telah menaikkan imej dan taraf bolasepak negara. Matlamat Akademi ini adalah untuk membangunkan satu pemilihan elit pemain bola sepak profesional yang berkemahiran tinggi, yang mempunyai potensi untuk menjadi bintang bola sepak antarabangsa. Kesemua ini akan membantu dalam pembentukan pemain-pemain yang mantap dan berpotensi untuk diketengahkan di peringkat negara mahupun antarabangsa. Tiada yang mustahil untuk kita melihat pasukan kebangsaan kita beraksi di Piala Dunia suatu masa nanti kerana China, Jepun dan Korea telah membuktikannya.

Selain dari sokongan syarikat koprat ini, masyarakat dan komuniti setempat juga dapat membantu dalam merealisasikan objektif dan matlamat itu dan ini telah dibuktikan dengan kehebatan kelab-kelab antarabangsa seperti Arsenal, Manchester dan sebagainya yang hanya bermula dengan sokongan komuniti setempat dan kini menjadi gah dan dikenali diseluruh dunia.

Tahniah buat Frenz United Football Academy yang memberikan dimensi baru dalam sukan bolasepak negara dan diharapkan objektif serta matlamat akan tercapai seterusnya merealisasikan impian peminat-peminat bolasepak negara untuk melihat kemajuan dan kejayaan yang lebih bermakna dan dikenang.